top of page

SEJARAH SEKOLAH

      Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Ya’kub atau nama ringkasnya SMKDARY,  merupakan sekolah aliran Melayu yang paling awal di Merlimau. Sejarahnya bermula pada bulan Januari 1965 dengan bilangan pelajarnya seramai 282 orang dan menumpang sementara di Sekolah Dang Anum.
     Mulai 7 Januari 1968, sekolah ini mendapat bangunan sendiri dan pada masa itu dikenali sebagai Sekolah Menengah Merlimau. Sekolah ini mempunyai 5 blok bangunan yang terdiri daripada 19 buah bilik darjah, 2 buah makmal Sains, 4 buah bilik Seni Perusahaan, 1 buah perpustakaan, 1 buah bangunan asrama, 1 buah Bilik Seni Lukis, 1 buah Bilik Geografi dan Sejarah, 1 buah Kantin dan Padang Trek 400 meter.
     Pada masa itu jumlah pelajar telah meningkat kepada 1035 orang yang terdiri daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat. Bilangan bilik darjah tidak mencukupi menyebabkan pembelajaran terpaksa dijalankan dalam dua sidang. Sekolah ini telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Y.B. Dato Patinggi Haji Abdul Rahman pada 12 September 1969. Mulai tarikh itu sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Dato’ Abdul Rahman Ya’kub, mengambil sempena nama beliau. Kelas aliran Sains telah dimulakan pada tahun 1972. Awal tahun 1973, sebuah blok bangunan telah didirikan yang terdiri daripada 4 buah bilik darjah, 2 buah makmal Sains dan sebuah bilik Sains Rumah Tangga. Pada tahun 1974, satu blok bangunan lagi didirikan yang mengandungi 6 buah bilik darjah dan sebuah makmal Sains berserta sebuah Dewan Besar. Pada tahun 1977 sebuah surau telah didirikan.

AbdulRahmanYa_kubImage-removebg-preview_edited.png
Y. B. Dato Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub

   Pada bulan Mei 1978, SDARY telah memulakan kelas Tingkatan 6. Pada masa yang sama Perpustakaan Sekolah diperbesarkan dan bilik APD diwujudkan. Pada tahun 1990, dua blok Bangunan Gotong-royong telah dibina menambahkan 8 buah bilik darjah lagi. Pada tahun 1995, bangunan Asrama Baru dengan sebuah Dewan Makan telah dibangunkan juga sebuah blok untuk Bengkel. Dengan perpindahan Asrama ke Asrama Baru, bangunan ASPURY telah diubahsuai untuk dijadikan bangunan APD yang baru. Bilik-bilik asrama yang lama juga telah diubahsuai untuk dijadikan Pejabat dan Bilik Guru. Pada masa ini (1996), SDARY mempunyai 10 buah blok bangunan. SDARY juga mempunyai 3 unit Rumah Guru. Diharap dengan jumlah blok bangunan yang semakin bertambah dapat mengatasi kekurangan bilik darjah pada masa kini. Akhir kata, majulah SDARY khasnya untuk memperjuangkan cita-cita dan aspirasi ibu bapa serta masyarakat setempat.

Pengetua

Pengerusi

PENGETUA_BAHARIM SELAMAT.jpg
En. Baharin bin Selamat
bottom of page