top of page

NADI ILMU AMALAN MEMBACA (NILAM)

Tahukah anda mengenai Program NILAM?

1.  Apakah usaha-usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan murid-murid sekolah?

 

Program galakan membaca yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah Program ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca atau Program NILAM yang telah mula dilaksanakan pada tahun 1999. Pelaksanaan Program NILAM ini dimulakan hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1998. Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah dan rekod pembacaan murid-murid ini diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan.

2.  Apakah itu Program NILAM?

 

‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.

Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.

Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.

3.  Apakah rasional Program NILAM dilaksanakan?

 

Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam membina budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai program galakan membaca di sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun kesan daripada program tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian Kementerian Pelajaran perlu mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berkesan.

4.  Apakah matlamat Program NILAM?

 

Matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca dalam kalangan murid.

5. Apakah objektif Program NILAM?

 

• Menjadikan murid banyak membaca

• Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini

6.  Apakah komponen yang terdapat dalam Program NILAM?

 

• Membaca dan merekod bahan bacaan

Murid perlu membaca buku yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, bilangan mukasurat, penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku rekod.

• Mengesahkan rekod dan mengumpul data

Tugas guru adalah untuk mengesahkan serta menandatangani rekod bacaan murid dan ia merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah. Data rekod hendaklah dikumpulkan oleh guru kelas dan diserahkan kepada penyelaras Pusat Sumber Sekolah atau guru penyelaras NILAM untuk dianalisa dan direkodkan. Data pembacaan murid perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada Pusat Kegiatan Guru di kawasan sekolah tersebut untuk dipanjangkan ke Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia.

• Memberi Pengiktirafan dan Ganjaran

Sekolah dan semua peringkat Kementerian Pelajaran juga perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM, misalnya dengan memberikan buku sebagai hadiah, sijil pengiktirafan NILAM atau dinyatakan bilangan buku yang sudah dibaca dalam rekod kemajuan murid dan sijil berhenti.

7.  Apakah tahap yang terdapat dalam program NILAM?

 

Program NILAM mempunyai dua tahap. Tahap pertama ialah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu tabiat. Tahap ini dikenali sebagai JAUHARI. Tahap kedua pula membantu pencambahan penggunaan bahan dalam gerakan membaca. Tahap ini dikenali sebagai RAKAN PEMBACA (RP).

 (Sumber : http://upspbtpnkl.blogspot.my/)

PROGRAM NILAM TAMBAH BAIK

Program NILAM Tambah Baik

Program NILAM yang ditambah baik merupakan kesinambungan kepada program NILAM terdahulu. NILAM yang ditambahbaik lebih berfokus kepada kualiti pembacaan berbanding kuantiti bahan dibaca dalam NILAM terdahulu. NILAM yang ditambahbaik merupakan gabungan aktiviti pembacaan (kuantiti dan kualiti bahan) dan juga aktiviti-aktiviti pengayaan selepas pembacaan (peningkatan pengetahuan dan kemahiran selepas pembacaan) yang akan melihat kepada aspek kualiti selepas pembacaan. Bahan-bahan yang boleh dibaca lebih pelbagai dan tidak terikat kepada buku berbentuk fizikal sahaja.

 

Format Buku Rekod NILAM

Program NILAM yang ditambahbaik telah dirintis di 104 buah sekolah di Selangor pada tahun 2016.  Hasil daripada rintis tersebut, satu format perekodan NILAM yang baharu telah disediakan.  Format Buku Rekod NILAM yang terkini dengan penambahbaikkan oleh pihak Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia ini akan mula digunakan mulai sesi persekolahan 2017 secara soft start dan akan digunakan sepenuhnya mulai tahun 2018.

Untuk sesi persekolah 2017 ini, Buku Rekod NILAM format yang lama masih boleh digunakan dan penggunaan buku rekod format yang ditambah baik akan digunakan setelah buku yang lama habis digunakan.

Contoh Buku Rekod NILAM yang ditambahbaik boleh dirujuk pada e-book melalui pautan di bawah :

 (Sumber : https://pkgbakri.net/)

Transformasi NILAM Dalam Era Pendidikan Revolusi Industri 4.0

Pusat Sumber Wadah Kebitaraan Modal Insan Celik ICT

Pengetua

Pengerusi

PENGETUA_BAHARIM SELAMAT.jpg
En. Baharin bin Selamat
bottom of page